gambar al imam assyahid hassan al banna |
Selepas Perang Dunia Yang Pertama, kumpulan yang berhaluan ke Barat bergerak begitu hebat sekali di Mesir. Kebangkitan nasionalisma di dunia Islam mencapai puncaknya dengan penggulingan sistem Khalifah Islam Othmaniah di Turki oleh Kamal Attarturk. Pergerakan Pembebasan Wanita Mesir menjadi bertambah kuat apabila wanita kelas atasan Mesir mem berontak; enggan memakai purdah.
Mereka memakai fesyen Eropah, menghadiri temasya sosial yang bercampur bebas antara lelaki dan perempuan, samada secara tertutup ataupun terbuka. Mereka juga mendesak supaya wanita mempunyai hak yang setaraf dengan lelaki di dalam soal kemasukan ke Universiti. Semuanya ini berlaku di waktu Hassan Al Banna mencatitkan rasa kebimbangan beliau serta rakannya terhadap kebimbangan ini.
"Hanya Allah yang mengetahui berapa malamkah kita berbincang tentang keadaan negara dan hubungannya dengan segala lapangan hidup rakyat. Apakah kesan dari penyakit masyarakat dan bagaimana untuk menyelesaikannya ? Kami berbincang dengan penuh perasaan sehingga menitiskan airmata. Sebelum kami membuat sebarang keputusan, kami berbincang dengan panjang lebar sekali, tetapi alangkah terkejutnya kami apabila kami bandingkan keadaan ini dengan mereka yang tidak kisah kepada apaapa, yang asyik bersenang-senang di kedai kopi."
Dalam catitan yang sama, Sheikh Hassan Al Banna mengakui bahawa keputusan menubuhkan Jamaah Ikhwanul Muslimin adalah ekoran dari pemerhatian beliau terhadap kejahilan Ummat Islam terhadap Agama mereka. Beliau menganggap bahawa masjid dan khatib khutbah sahaja tidak cukup untuk menyelesaikan masalah ini.
Ulamak-ulamak yang ada tidak terdaya untuk menahan serangan dari Puak Modernist selain dari melabelkan mereka murtad. Yang malangnya terdapat juga manusia yang digelar 'ulamak' tetapi terlalu mudah untuk bertolak ansur dengan pemerintah dari segiprinsip agama dengan tujuan untuk memuaskan hati taghut-taghut ini. Ulamak Kaherah jatuh ke lembah yang paling menghinakan apabila mereka menyetujui fatwa yang diberi oleh Rektor Universiti al Azhar bahawa Raja Farouk adalah layak untuk memerintah dan layak digelar Khalifatul Mu'min atas alasan "beliau adalah seorang Islam dan datang dari keturunan Rasulullah S.A.W.".
Dengan tekad bersungguh-sungguh dan sedaya upayanya Sheikh Hassan al-Banna terus menubuhkan pergerakan Islam Ikhwanul Muslimin demi untuk menyelesaikan nasib yang malang itu. Ikhwanul Muslimin ditubuhkan dalam tahun 1928, sebaik sahaja beliau keluar dari Darul Ulum. Pemimpin-pemimpin Islam yang terkenal seperti Jamaluddin Al-Afghani, Sheikh Muhammad Abduh dan Sayyid Rashid Ridha' lebih mengutamakan penulisan dan dakwah dalam aktivitinya.
Apa yang dilakukan oleh Hassan Al Banna bercita-cita untuk menubuhkan satu harakah Islam
yang syumul yang akan membimbing seluruh generasi dengan prinsip-prinsip Islam yang menyentuh semua aspek hidup seperti politik, ekonomi dan sosial. Al Ikhwanul Muslimin adalah satu harakah yang tersusun rapi dengan ahlinya yang dibahagikan kepada peringkat-peringkat tertentu.
Terdapat ahli peringkat pertama, peringkat kedua, penyokong dan pekerja. Seseorang itu tidak dinaikkan peringkatnya, sebelum diberi ujian tertentu. Apabila ahli sudah dianggap aktif,mereka akan dipanggil dalam mesyuarat khas, dimana Sheikh Hassan al Banna sendiri yang menjadi ketuanya.
Bagi mengendalikan ahli, mereka dibahagikan kepada nukleus, sel, usrah dan barisan.
Apabila cawangan-cawangan bertambah, satu unit pentadbiran ditubuhkan dengan ahlinya dipilih khas oleh Muktamar (General Assembly). Markas akan menerima tentang maklumat semua kegiatan ahli 10 hari sebelum Muktamar.
Di Muktamar, semua cawangan menghantar wakil masing-masing. Persetujuan Markas Pusat diperlukan untuk meluluskan satu-satu keputusan yang dipersetujui oleh Muktamar Cawangan. Markas Pusat juga berkuasa untuk meluluskan atau menahan penubuhan sesuatu cawangan atau Jawatankuasa Tadbir. Untuk melicinkan lagi operasi.
Jawatankuasa Pusat menubuhkan Jawatankuasa Kecil bagi department-department tertentu seperti kebajikan masyarakat, hubungan dengan Dunia Islam dan lain-lain. Di Kaherah lah letaknya Markas Pusat. Jawatankuasa Pusat terdiri dari 100 orang Jawatankuasa Pengasas dan 12 orang penasihat, yang dilantik sendiri oleh Hassan alBanna dari Jawatankuasa Pengasas. Setiap ahli membuat bai'ah atau sumpah setia.Mereka bersumpah untuk melindungi saudara-saudara Ikhwan hatta dengan mengorbankan nyawa mereka sendiri, disamping menaruh kepercayaan dan ketaatan dengan lapang dada terhadap ketua mereka.
Mereka sanggup menerima perintah walaupun bercanggah dengan kehendak mereka. Disetiap perjumpaan mereka akan memperbaharui sumpah mereka dan mengulangi "Sami'na wa Ata'na".
Hassan al Banna mengetahui dengan terperinci ahli-ahli yang aktif dan dipercayai. Mereka ini dikehendaki merekodkan aktiviti-aktiviti harian mereka termasuk penghafalan Qur'an serta kehadiran mereka pada sembahyang berjemaah. Mempelajari Al Qur'an, Hadith dan Syari'ah diwajibkan ke atas mereka. Mereka diajar menggunakan bermacam-macam senjata dan pertolongan cemas. Pada akhir pengajian mereka akan diperiksa apa yang telah mereka pelajari. Satu perjumpaan diadakan dua tahun sekali diperingkat cawangan apabila diarah oleh Hassan al Banna.
Di dalam tulisannya, Sheikh Hassan al Banna berpegang teguh kepada beberapa prinsip. Pertamanya, beliau melarang keras ahlinya menjadi Ikhwanul Muslimin sebagai tempat medan percanggahan pendapat. Dalam soal ini, Hassan al Banna mengikut nasihat dari seorang Ketua Sufi di mana ia masih berada di bangku sekolah. Ketua Sufi itu telah menasihatkan muridnya supaya jangan berbalah dalam perkara-perkara yang kecil dan jangan menggunakan kalimah-kalimah orang-orang atheist, murtad dan missionari kristian di khalayak ramai.
"Buatlah perkara ini semasa kamu berbincang dan bermusyawarah sesama kamu. Dihadapan orang-orang kampung, gunakanlah perkataan yang berkesan yang dapat membimbing mereka kepada Islam".
Yang keduanya, Hassan al Banna, begitu kurang mempercayai kalangan orang-orang kaya terkenal yang ingin menyertai Ikhwan. Pada anggapan beliau, mereka berbuat demikian mungkin untuk kepentingan diri atau mencari kepentingan dunia. Didalam penulisan beliau dan pengikutnya terdapat penekanan tentang kepentingan membentuk harakah secara beransur-ansur. Sesebuah harakah itu mestilah mendapat sokongan orang ramai yang kuat sebelum dapat menggantikan kerajaan yang ada.
Media massa mestilah diberi dengan cukup prinsip-prinsip perjuangan Islam. Al Ikhwan dapat
menjalankan programnya hasil dari kekuatan Iman dan prinsip-prinsip Islam yang tulin, per paduan dan Ukhwah Islamiah di kalangan ahli-ahli harakah dan penyokong. Al Ikhwan ber pendapat bahawa kekuatan hanya perlu digunakan apabila semua cara lain gagal. Di dalam ucapan dan tulisannya, Sheikh Hassan al Banna menafikan bahawa Ikhwan mahu mengadakan Revolusi bunuh membunuh atau Coup d'etat. Tidak juga ia mengatakan langkah tersebut sebagai berkesan.
Aktiviti asas bagi Al Ikhwan ialah soal pendidikan dan pembukaan sekolah-sekolah yang bermacam jenis. Berulang kali Al Ikhwan menyeru kepada Kerajaan Mesir supaya mengambil berat tentang pengajaran agama dan prinsip-prinsip akhlak yang mulia kepada generasi muda yang sedang meningkat umur di sekolah-sekolah umum. Program persekolahan yang dilaksana kan sepatutnya mempunyai empat matlamat :
1. Menyebarkan prinsip Agama Islam.
2. Menaikkan taraf moral yang tinggi.
3. Kemegahan terhadap tamaddun Islam.
4. Menyediakan pakar-pakar di dalam semua bidang sains untuk membantu kebangkitan Islam di Mesir.
Di dalam Kurikulum sekolah, al-Ikhwan menyeru supaya pemerintah memberi perhatian yang istimewa kepada sejarah Islam, dan Tamaddun Islam. Mereka juga medesak supaya mata pelajaran Islam diwajibkan di universiti-universiti. Guru-guru yang tidak berakhlak, tidak mengambil berat tentang Islam serta tidak jujur dalam usaha-usaha untuk memperbaiki negara hendaklah dipecat. Sekolah-sekolah yang bercampur antara lelaki dan perempuan hendaklah diharamkan. Inilah antara contoh dan peranan aktif yang dimainkan oleh Al Ikhwan.
Di Markas Pusat, sebuah Jawatankuasa Khas mengenai penubuhan sekolahsekolah diadakan. Sekolah-sekolah rendah, menengah, teknik yang ditubuhkan adalah lain dari sekolah-sekolah swasta serta lain dari segi penekanan prinsip Islam terhadapmurid-murid. Untuk menghapuskan buta huruf, Ikhwan menubuhkan beberapa sekolahpercuma untuk pekerja-pekerja dan orang- orang kampung. Pada siang hari terdapat kelas menghafal Quran sementara di malam harinya terdapat kursus-kursus untuk pemuda yang tidak berpeluang belajar pada siang hari.
Kelas bimbingan bagi membantu mereka yang gagal dalam peperiksaan juga diadakan di sebelah malam. Guru-guru yang mengajar terdiri dari pelajar-pelajar universiti yang telah dilatih khas. Mereka juga membuka sekolah "Ummul Mu'minin" bagi Muslimat Ikhwan.
Itulah contoh-contoh betapa beratnya perhatian yang diberikan oleh Ikhwanul Muslimin terhadap pendidikan sehingga boleh dikatakan tiada satu pun cawangan Ikhwan yang tidak mempunyai sekolah sendiri.
Dari segi kebajikan masyarakat, Ikhwan memberi bermacam-macam perkhidmatan. Mereka menubuhkan persatuan untuk meningkatkan taraf kehidupan serta memajukan kampung-kampung di Mesir. Salah seorang ahli Ikhwan al Muslimin mendirikan sebuah ladang contoh di atas tanahnya. Di kampung yang lain Ikhwan membina 4 buah kubur untuk digunakan oleh mereka yang miskin. Di tempat lain pula, Ikhwan menjamu 200 orang miskin tiap-tiap hari sepanjang bulan Ramadhan.
Cawangan-cawangan Ikhwan berlumba-lumba dalam memberi sedekah kepada orang-orang
miskin, mengadakan bekalan eletrik ke kampung-kampung dan memungut derma di bulan Ramadhan. Cawangan-cawangan Ikhwan berlumba-lumba dalam memberi sedekah di bulan Ramadhan. Setengah dari ahli Ikhwan menjadi Hakim bagi menyelesaikan perselisihan-perselisihan yang berlaku di kampung-kampung. Mereka membuat bancian bagi mereka yang tidak berumah dan anak-anak yatim supaya pekerjaan yang sesuai dapat disediakan kepada mereka sejajar dengan umur mereka. Orang-orang cacat dan orang-orang sakit juga mendapat pertolongan dari segi sara hidup.
Masjid-masjid dibina di seluruh negara. Setengah kalangan mewakafkan tanah, sementara yang lain membiayai pembinaannya. Boleh dikatakan semua cawangan Ikhwan mempunyai masjidnya sendiri. Ikhwan juga mengambil berat tentang kesihatan masyarakat. Untuk mencapai matlamat tersebut untuk mendirikan hospital serta gedung-gedung ubat di kebanyakan tempat untuk merawat pesakit-pesakit. Kemuncak kejayaan Ikhwan ialah dengan terdirinya sebuah Klinik Ikhwan di Tanta di mana beribu-ribu pesakit dirawat dalam setahun.
Untuk menyebarkan prinsip perjuangan Islam, Ikhwan sangat aktif dalam bidang penerangan. Mereka menerbitkan akhbar harian dan lebih dari sedozen majalah. Diantaranya ialah majalah bulanan, Al Manar, Mingguan Al-Taaruf, Al-Shu'a, Al Nadhir, Ash-Shihah, Al Mabahith, Al Da'awah dan Al Muslimun. Akhbar Harian mereka mendapat langganan yang paling laris dari semua keluaran. Ini adalah kerana matlamat-matlamatnya:
1. Menerangkan Islam sebagai agenda dan sistem hidup yang paling bagus, disampaikan dengan cara yang paling sesuai untuk zaman moden.
2. Mematahkan serangan-serangan yang dihalakan kepada Agama Islam.
3. Mendamaikan perselisihan pendapat di antara mazhab-mazhab Islam demi untuk perpaduan Ummat Islam.
Tulisan Sheikh Hassan al Banna dikeluarkan tiap-tiap hari dalam akhbar Ikhwan.Tulisannya amat bernas dengan ayat-ayat Qur'an, Hadith Rasulullah SAW dan syair-syair Arab Klasik. Antara tajuknya termasuk :
1. Progrem Ikhwan
2. Perkembangan dan matlamat perjuangan Islam
3. Bagaimana kita menarik manusia ke jalan Allah
4. Menuju ke cahaya
5. Matlamat dan prinsip kita
6. Ke mana kita ajak manusia
7. Harakah Kita
8. Antara Hari ini dan Hari Esok
9. Risalah Jihad
10. Untuk mu Pemuda
11. Ikhwan Muslimin di bawah Panji-panji Qur'an
12. Tanggungjawab Muslimat
13. Program Rohani.
Buku-buku yang ditulis oleh Ikhwan yang lain termasuk :
1. Ikhwanul Muslimin di mata dunia
2. Palestin dan Afrika Utara
3. Keruntuhan Tamaddun Barat Moden
4. Islam terus melangkah ke hadapan.
Ikhwan juga mengeluarkan risalah-risalah dan riwayat hidup Hassan al Banna. Penerbitan ini bukan sahaja popular di Mesir malah ianya terkenal diseluruh negara-negara yang berbahasa Arab. Tidak terdapat satu pun pergerakan Islam di negara Arab di zaman moden ini yang dapat menghasilkan minat orang yang begitu kuat terhadap perjuangan Islam serta mendidik mereka dengan semangat Islam. Ini semua adalah kesan dari tulisan-tulisan yang gagah yang ditulis oleh penulis-penulis Muslimin dan Muslimat Ikhwanul Muslimin.
Daripada awal lagi, Ikhwan menerima Muslimat menyertai harakahnya. Sayap Muslimat Ikhwanul Muslimin mempunyai dasar perjuangan yang sama dengan Muslimin walaupun terdapat sedikit ubah suai untuk memenuhi sifat kewanitaan Muslimat. Penekanan yang berat diberi untuk menghasilkan individu-individu Muslimat yang mulia, berakhlak dan suci. Aktiviti Muslimat berkisar pada pendidikan dan kebajikan masyarakat berdasarkan Islam.
Di antara ciri yang menonjol bagi Harakah Ikhwanul Muslimin ialah penekanannya yang berterusan terhadap kepentingan JIHAD. Jihad yang diajar oleh Ikhwan ialah Jihad yang difahami oleh semua orang Islam iaitu Jihad yang tidak mempunyai sebarang unsur tolak ansur. Bukannya konsep JIHAD yang direka-reka oleh Puak Modernist.
Ikhwan menganggap bahawa ibadat dan amal soleh seseorang Islam itu sia-sia jika ia tidak bersedia untuk mengorbankan nyawanya demi untuk mempertahankan Agama Islamnya. Bersedia untuk mati tanpa mengharapkan sebarang balasan dunia melainkan semata-mata cintakan Allah dan hari Akhirat. Al Ikhwanul Muslimin menaikkan semangat jihad dengan cara menggalakkan pemuda Islam melakukan latihan menguatkan tubuh badan untuk persediaan perang. Akhirnya mereka menubuhkan Unit tentera mereka sendiri untuk mempertahankan harakah apabila diperlukan.
Sheikh Hassan al Banna berkali-kali mengajak orang kampung supaya berjihad menumpas penjajah British dan menghalau mereka selama-lamanya dari Mesir. Beliau tidak bertolak ansur langsung dalam masalah ini dan beliau tidak mempercayai langsung pendapat dan fikiran bahawa masalah ini dapat diselesaikan melalui perbincangan dan mesyuarat yang tidak membawa ke mana-mana. Di dalam peperangan Palestin pada tahun 1948, pasukan sukarelawan Ikhwan Muslimin adalah pasukan yang paling berani berperang di pihak Arab. Apabila Bangsa-Bangsa Bersatu mengiktiraf penubuhan negara Yahudi di Palestin, Sheikh Hassan al Banna menyeru semua negara Islam meninggalkan Bangsa-Bangsa Bersatu dan berjihad menentang Yahudi.
Sheikh Hassan al Banna dan penyokongnya dengan terang-terang dan berani melaungkan bahawa Islam sajalah agama yang terbaik dan penyelesai kepada semua masalah yang dihadapi oleh Mesir. Matlamat Ikhwanul Muslimin ialah untuk mendirikan masyarakat dan negara Islam di mana Syariah Islam menjadi undang-undang negara.
Hassan al Banna berkata : "Kita tidak akan berdiam diri dan bersenang hati atau berhenti selagi Qur'an benar-benar menjadi perlembagaan negara. Kita akan hidup untuk mencapai matlamat ini atau mati dalam usaha melaksanakannya".
Al Ikhwanul Muslimin tidak berpuas hati dengan undang-undang negara yang hanya meletakkan Islam sebagai Agama Negara. Mereka mendesak supaya undang-undang Islam dijalankan sepenuhnya di mana kerajaan dan rakyat tunduk kepada undang-undang Allah.
Sheikh Hasan al Banna berkata dalam satu ucapannya :
"Al Ikhwanul Muslimin memegang sikap bahwa Islam mempunyai implikasi yang luas dan menyeluruh. Islam mengawal semua tingkah laku individu dan masyarakat. Setiap sesuatu mestilah tunduk di bawah undang-undangNya dan mengikut ajaranNya. Sesiapa yang menurut Islam dari segi Ibadat saja tetap meniru orang kafir dalam semua hal lain boleh dianggap sama taraf dengan orang kafir".
Di dalam jawapan kepada salah seorang pemimpin politik di zamannya, beliau
berkata :
"Kami mengajak kamu kepada Islam, ajaran Islam, undang-undang Islam dan petunjuk Islam. Kalau ini dianggap politik oleh kamu maka inilah politik yang kami perjuangkan".
Oleh kerana Demokrasi tulin tidak wujud di Mesir, Hassan al Banna memerintah supaya semua parti politik dibubarkan termasuk Sistem Parlimen kerana ini semua tidak menghasilkan apa- apa melainkan keruntuhan moral dan perebutan kuasa. Hassan al Banna dan pengikutnya berkeyakinan bahawa tidak ada satu pun parti politik Mesir yang wujud di zaman Raja Farouk benar-benar ingin melaksanakan undang-undang Islam atau cinta kepada Islam. Ikhwanul Muslimin bercita-cita untuk menubuhkan sebuah negara Islam Mesir yang kuat dan memansuh kan semua parti-parti yang ada.
Begitulah tegasnya sikap al Ikhwanul Muslimin sehinggakan menjadi syarat bagi sesiapa yang ingin menjadi ahli harakahnya berhenti dari menjadi ahli sebarang parti politik yang ada di Mesir pada zaman Raja Farouk.
Walaupun al Ikhwanul Muslimin menyokong Nasionalis Arab Sekular dalam soal membebaskan Mesir dari belenggu Penjajah, dan kesatuan Arab, ini bukanlah menjadi matlamat tetapi cara saja. Menyatukan bangsa Arab adalah langkah pertama kepada penyatuan Ummat Islam di negara Arab. Bebas dari penjajahan bermakna Ummat Islam mempunyai kesempatan untuk menubuhkan sebuah negara Islam.
Malangnya apabila tergulingnya Raja Farouk dalam Revolusi 23hb. Julai 1952, negara Mesir ditukar kepada sebuah Negara Nasionalis Sekular tulin serta terus melanjutkan polisi membarat kan Mesir
Al Ikhwanul Muslimin bukan mahukan kuasa untuk kepentingan diri sendiri, malah mereka berjanji berkali-kali untuk menyokong sesiapa yang memerintah asalkan undang-undang Islam dijalankan. Semua ini ditolak mentah oleh diktator Tentera yang baru berkuasa itu. Presiden Gamal Abdul Nasser pernah berkata :
"Saya telah bertemu dengan Ketua Penasihat Ikhwanul Muslimin yang telah membuat beberapa tuntutan kepada saya. Perkara pertama yang dia mahu ialah semua wanita diwajibkan menutup aurat. Dia juga mendesak supaya ditutup semua panggung wayang dan tempat pementasan. Dengan lain perkataan dia mahu supaya hidup kita gelap dan mendung. Sudah tentulah men jadi perkara mustahil untuk kita melaksanakannya".
Percubaan untuk menbunuh Presiden Gamal Abdul Nasser pada December 1954, menjadi alasan yang baik yang ditunggu-tunggu oleh kerajaan untuk menghancurkan Ikhwan al Muslimin. Ikhwan telah dituduh melakukan penembakan itu walaupun Ikhwan berkali-kali menafikannya. Beribu-ribu anggota Ikhwan telah ditangkap, dipenjara dan 6 orang telah digantung hingga mati. Protes dari dunia Islam tidak dilayan langsung. 12 tahun selepas peristiwa itu, iaitu pada tahun 1961, al Ikhwanul Muslimin telah difitnah sekali lagi sebagai penyebab kepada kegagalan dan kemunduran negara.
Akhirnya Presiden Nasser telah menubuhkan satu Jawatankuasa Khas yang penting untuk 'menghapuskan pengaruh gerakan apa yang dipanggil reaksionari Ikhwanul Muslimin'.
Beliau (Gamal Abdul Nasser) telah mencadangkan supaya kuasa ketenteraan dan undang-undang digunakan untuk menghancurkan Harakah Islam ini. Sebahagian dari cadangan yang dibentangkan oleh Jawatankuasa Khas itu telah disiarkan dalam An-Nadwa, Mekah seperti berikut :
1. Mata Pelajaran Deeniyah (agama) mestilah dibuang terus dari sukatan pelajaran di Institusi Pengajian di seluruh negara. Semuanya itu akan digantikan dengan kurikulum baru berdasar kan prinsip sosialisma.
2. Komunis mestilah dibantu dan diberi peluang yang luas untuk menghancurkan agama supaya martabat mereka yang berugama di Mesir hancur. Tanggungjawab ini diberikan kepada kerajaan yang akan mengizinkan komunis menjalankan aktiviti anti agamanya dengan selantang-lantangnya. Sementara itu agama akan ditindas dari sebarang peluang untuk bergerak.
3. Selepas kita mengkaji dengan dengan mendalam tentang mereka yang tidak terikat dengan Ikhwan tetapi memainkan peranan yang sama dengan Ikhwan, kita merumuskan bahawa kedua-dua kumpulan pendakyah-pendakyah ini bersatu dari segi fikrah dan amalannya.Oleh itu kedua kumpulan ini mestilah dipisahkan dan pertalian mereka diputuskan. Kalau tidak, harinya tidak akan lama di mana mereka akan berganding bahu untuk memberontak menentang kerajaan secara terbuka.
Pada masa itu kita akan susah untuk membezakan antara satu dengan yang lain. Adalah wajar kalau kita elakkan bahaya ini dengan menganggap bahawa kedua kumpulan itu adalah sama. Semua ruang untuk perkembangan mereka serta peluang bagi aktiviti intelektual dan praktikal mereka mestilah dihalang. Penyiasatan yang rapi hendaklah dijalankan bagi mengetahui ber kenaan dengan perjumpaan dan hubungan mereka antara satu sama lain. Semua ahli ibadat dari sebarang agama mestilah diharamkan dari menjadi ahli sebarang organisasi. Mereka hendaklah juga diharamkan dari tempat-tempat awam, propaganda kebangsaan dan keramaian-keramaian negara.
4. Ikhwan dan simpati-simpatinya mestilah ditindas berterusan serta dipenjarakan. Semua usaha untuk menjaga keselamatan harta benda mereka hendaklah ditarik balik dan diumumkan bahawa keselamatan mereka pun tidak akan dijamin. Berbagai-bagai penyiksaan, penghinaan dan penindasan mestilah dilakukan ke atas mereka supaya mereka tidak akan merasa senang walaupun sesaat.
Akibat dari polisi ini, beribu-ribu Ikhwan termasuk Muslimat ditangkap dengan tidak ada peluang membela diri dan mereka diazab dengan penyiksaan yang tidak ada tolok bandingnya. Hassan Ismail Hudaybi, seorang hakim dan ulamak terkenal yang menggantikan Hassan al Banna debagai Ketua Penasihat Ikhwan telah disiksa walaupun umurnya sudah tua dan uzur. Pada 29hb. Ogos, 1966 tiga orang pemimpin Ikhwan telah dihukum bunuh.
Yang paling terkenal di antara tiga itu ialah Ash-Syahid Sayyid Qutb yang juga seorang ulamak dan penulis terkenal di dunia Arab. Adiknya Muhammad Qutb yang juga seorang penulis yang terkenal. Dua orang adik perempuannya, Aminah dan Hamidah Qutb pun turut dikurung dalam penjara bertahun-tahun lamanya.
Beberapa tahun dahulu. Sheikh Hassan al Banna telah meramalkan mala petaka ini dan memberi amaran kepada pengikut-pengikutnya bahawa Ikhwanul Muslimin akan dihina, ditentang, ditahan, dianiaya, disiksa dan akan dikenakan kesusahan yang amat pahit. Sementara itu beliau berjanji bahawa kemenangan di dunia dan di akhirat akan tetap bersama Ikhwan akhirnya.
Walaupun Ikhwan al Muslimin ditindas di negaranya sendiri, Ikhwan di Syria, Jordan, Lebanon dan Sudan terus bergiat dengan aktivitinya. Di Geneva, Dr. Said Ramadhan mengahwini anak perempuan Hassan al Banna dan menyibarkan prinsip perjuangan Islam di Barat dengan hebat. Beliau keluar dari Mesir apabila beliau dijatuhkan hukuman bunuh oleh kerajaan Mesir.
Adalah salah kalau kita menganggap prinsip perjuangan Ikhwanul Muslimin telah mati. Penulis rencana ini telah pergi ke Mesir dan Syria serta melihat dengan mata kepalanya sendiri kesan dari harakah ini di sana. Kehilangan sementara harakah dari masyarakat kerana situasi tertentu tidak bermakna ianya telah mati. Pergerakan berideologi tidak mati dengan cara ini. Mesejnya masih terus berkembang di semua lapangan hidup termasuk intelektual, sosial dan kebudayaan malah prinsip perjuangan Ikhwan subur dan menjelajahi tanah-tanah baru.
gambar sebahagian ahli ikhwan al muslimun ketika di muassasah,ramsis 1930 |
logo ikhwan al muslimun |
1 comments:
Assalamualaikum,, ana izin copas artikelnya ya akhi muhsin al azhari... jazakumullah khair....
Catat Ulasan